petikan
Kosmo! 2 Ogos 2011
M. NASIR dan Khatijah mempunyai cara dan cerita Ramadan dan Aidilfitri masing-masing untuk dikongsi bersama peminat.
MENYAKSIKAN kehadiran figura ini sahaja, gelombang elektromagnetik pada
frekuensi tertentu bakal berlegar di segenap tubuh. Belum lagi mendengar
suara emas mereka yang mampu menggetarkan jiwa dan rasa. Itulah aura
yang dimiliki penyanyi Datuk M. Nasir, 54.
Bagi Datuk Khatijah Ibrahim pula, biarpun kehadirannya dalam industri
seni menjangkau hampir usia 40 tahun. Pesona yang dimilikinya masih kuat
menjamah hati setiap individu.
Berpeluang bertemu secara empat mata dengan dua figura hebat ini selepas
rakaman raya program Sedetik Muzik untuk Sistem Televisyen Malaysia
Berhad (TV3) di Sri Pentas 2, Shah Alam, Selangor baru-baru ini, agenda
seni diajukan dahulu kepada mereka sebagai pembuka bicara.
“Setakat ini dua program aku sudah terima untuk hari raya iaitu Sedetik
Muzik untuk TV3 dan juga program Ekspresi Kembara bersama Jamal Abdillah
untuk TV9.
“Aku ambil ikut rasa dan jika ada kelapangan. Ada lagi tawaran untuk
program lain tetapi masih tidak confirm,” kata M. Nasir mengenai program
terbaharunya yang selesa membahasakan dirinya sebagai aku.
Menyentuh mengenai projek nyanyiannya pula, pemilik nama Mohd. Nasir
Mohamed itu bakal menghasilkan lagu buat bekas vokalis kumpulan Meet
Uncle Hussain (MUH), Nor Azlan Rosle.
Untung Azlan yang kini dikenali sebagai Azlan & The Typewriter apabila mendapat sentuhan komposer M. Nasir.
Sebelum ini, kesemua lagu yang dicipta komposer yang menerima jolokan
sifu itu popular sehingga menjadi siulan orang ramai yang termasuklah
Fantasia Bulan Madu (Search), Sejati (Wings), Mahligai Syahdu (Hattan),
Senja Nan Merah (Awie dan Ziana Zain), Ghazal Untuk Rabiah (M. Nasir dan
Jamal Abdillah), Takdir Penentu Segala (Jamal Abdillah), Nafas Cahaya
(Misha Omar, Angan dan Sedar (Mawi), Cinta Dewa Dewi (Spider), Ada Masa
Mata (Datuk Siti Nurhaliza) dan banyak lagi.
Cipta 50 lagu
“Projek lagu untuk Azlan itu masih lagi dalam perancangan,” ujarnya yang kini sudah menghasilkan lebih 50 buah lagu.
Masih tidak tahu lagu-lagunya itu sama ada akan dinyanyikan sendiri
olehnya atau diberi kepada penyanyi lain, pemilik syarikat Luncai Emas
Sdn. Bhd. itu sememangnya sangat selektif memberikan lagunya untuk
dinyanyikan oleh orang lain.
Baginya, kena ada kombinasi yang bagus antara lagu dengan penyanyi.
“Aku buat lagu ikut rasa. Kadang-kadang bila sesebuah lagu itu siap aku
tidak nampak orang lain boleh sampaikan lagu tersebut. Mungkin terlalu
sukar untuk orang lain nyanyikan,” katanya yang turut memberitahu banyak
sebab sesebuah lagu itu boleh diterima orang ramai sama ada disebabkan
penyanyi, pasaran lagu, lirik atau melodi sesebuah lagu tersebut.
Selepas album Sang Pencinta pada tahun 2006, sehingga kini tiada
sebarang album yang dikeluarkan M. Nasir biarpun lagu yang dicipta
mencecah angka 50. Ditanyakan mengenai perkara itu, katanya yang serasi
bekerjasama dengan arwah Loloq itu, semuanya masih dalam perancangan
lagi.
Jika dulu M. Nasir begitu serasi bersama arwah Loloq, katanya, kini dia
serasi pula bekerjasama dengan AD Samad dalam menghasilkan lagu.
Menganggap lagu dulu lebih mudah didengar, penyanyi, pengubah lagu,
pelakon, pengarah dan penerbit filem serta pelukis itu turut menganggap
lagu raya malar segar (evergreen) lebih sedap berbanding lagu raya masa
kini.
Katanya, lagu raya masa kini lebih ke arah alunan muzik berbanding lirik.
“Bukan mahu prejudis pada lagu baharu, tetapi kita sering mahukan lagu
yang ada unsur nostalgia. Sebagai contoh, lagu Tan Sri P. Ramlee yang
meninggalkan kesan psikologikal. Lagu baharu juga ada yang sedap
didengar,” katanya yang mengaku masih minat berlakon tetapi tetapi tidak
berminat dengan jalan cerita skrip-skrip yang diterimanya.
Kali terakhir kelibat M. Nasir di layar perak apabila muncul untuk watak cameo sebagai Naga Tasik Chini menerusi filem Magika.
Lontong hari raya
Beralih pula kepada persiapan puasa dan raya, dia yang terkenal dengan
watak Hang Tuah dalam iklan Kit Kat itu memberitahu, tidak suka
berlebihan semasa bersahur mahupun berbuka puasa. M. Nasir turut
mengajar anak-anaknya untuk bersederhana setiap kali berpuasa.
“Setiap kali bersahur atau berbuka aku lebih selesa makan secara
minimal, sebab sedar mengenai ekonomi,” katanya yang menggemari menu
capati setiap kali berbuka.
Ditanya kepada isterinya, Datin Marlia Musa pula, dia berkata: “Dia (M.
Nasir) sangat simple tetapi cerewet. Setiap kali bulan puasa dia akan
cakap pada anak-anak apa tujuannya kita berpuasa.
“Setiap kali berbuka selama sebulan dia dan anak-anak akan makan capati.
Anak-anakpun sudah biasa dan tidak merungut. Cuma pada hujung minggu
baru kami berbuka dengan nasi”.
Bercerita tentang hari raya pula, M. Nasir mahupun Marlia sepakat beraya
di sebelah keluarga Marlia dahulu sebelum pulang ke negara kelahiran M.
Nasir, Singapura.
“Kebanyakan keluarga Marlia ada di Kuala Lumpur, jadi pagi raya kami
akan beraya di Kuala Lumpur. Pada sebelah petangnya barulah kami balik
Singapura,” ujar M. Nasir yang menggemari menu lontong setiap kali
sambutan hari raya.
Sibuk memasak
Sementara itu bagi pelantun lagu Doa Buat Kekasih, Datuk Khatijah
Ibrahim atau nama pentasnya Khaty, kebiasaannya pada setiap kali bulan
puasa dia akan sibuk memasak di restoran miliknya, Khatijah’s Kitchen
yang terletak di Jalan Bukit, Petaling Jaya, Selangor.
Tahun ini katanya, sebanyak 40 menu termasuk rendang tok, kambing
tomato, ikan panggang kuali, terung goreng telur dan sambal serta kuih
kasui bakal menghiasi menu restorannya.
“Tahun ini macam tahun-tahun sebelumnya, Khatijah’s Kitchen ada
menyediakan bufet Ramadan. Antara menu yang akan disediakan untuk bulan
puasa tahun ini ialah rendang tok dan daging dinding,” katanya.
Adik kepada Latiff dan Sophia Ibrahim itu juga membuat tiga jenis biskut
raya iaitu Almond London, tat nanas dan cornflake untuk dijual kepada
rakan-rakannya sahaja.
Walaupun sibuk dengan restorannya, ibu kepada sepasang anak itu akan
tetap menyediakan juadah berbuka untuk anak-anaknya. Namun, bila
menyentuh mengenai bersahur pula, kata Khaty, jika bersahur dia tidak
boleh makan terlalu banyak.
“Biasanya kalau bersahur saya tidak boleh makan terlalu banyak. Sekadar
air masak dan kurma sahaja. Anak-anak pula biasanya akan makan sebelum
tidur,” ungkapnya yang setiap tahun akan beraya di rumah abangnya di
Hulu Klang.
Kesibukannya pada tahun ini kian bertambah apabila Khaty turut melancarkan album baharunya pada 28 Julai lalu.
Diminta mengulas mengenai album baharunya, kata Khaty terdapat dua buah
lagu yang dihasilkan oleh arwah adiknya, Tahir Ibrahim. Salah satu
daripadanya ialah Kamar Sepi.
Discuss: Empat korban tewas kecelakaan Sumber Kencono teridentifikasi